Saturday, March 05, 2011

Pluralisme Agama: Alternatif Ke-Tiga




Kebelakangan ini, soal pluralisme agama semakin hangat berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada umat Islam agar menjauhi pluralisme agama. Menurut beliau, fahaman yang meletakkan semua agama sama taraf di depan Allah bertentangan dengan kepercayaan Islam.

Beliau juga berkata, “Jangan salah faham kenyataan saya. Saya tidak menghina agama-agama lain tetapi ini berkaitan dengan soal akidah.”

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama telah ditubuhkan tahun lalu bagi memupuk hubungan baik di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Ini mencetuskan reaksi berbeza daripada setiap lapisan rakyat. Ada yang menjadikan pluralisme sebagai modal politik untuk mendakwa pihak lawan sebagai pencetus ‘ancaman’ ini. Ada pula yang melihat usaha dialog antara agama seakan-akan ‘merendahkan’ martabat kepercayaan Islam setaraf dengan agama yang lain.

Dan ada juga aktivis seperti paderi Thomas George yang berpendapat bahawa pluralisme ala-John Hick adalah pendekatan paling berkesan demi mengatasi gejala diskriminasi, prasangka dan penindasan sesama manusia. Menurut beliau, semua agama adalah konstruk manusia yang sahih membawa para penganut kepada Tuhan. Fenomena agama seumpama beberapa orang buta yang bergaduh setelah meyentuh hanya sebahagian tubuh gajah buat kali pertama. Setiap penganut menganggap agamanya benar dan sempurna, tetapi hakikatnya, persepsi mereka merangkumi hanya sebahagian wahyu Tuhan.

Akan tetapi, kedua-dua reaksi ini memperlihatkan kekeliruan berleluasa bukan sahaia dari segi makna sebalik ideologi pluralisme agama malah dari penghayatan erti toleransi dan persefahaman yang sebenar.

Mungkin ada third way (jalan kesederhanaan) yang lebih berkesan.

Pertama, rukun pluralisme adalah eksklusif juga: “Semua agama hanya seumpama perspektif terhad orang buta mengalami Realiti yang sama, Sekarang biar saya dedahkan Kebenaran yang tepat dan sempurna!” Orang lain semuanya buta tapi penganut pluralisme agama sahaja yang nampak gajah itu. Dari mana datangnya ‘wahyu’ ini?

Mungkin secara tidak sedar, hujah pluralisme agama jelas bercanggah dengan fahaman agama lain.

Kedua, sifat toleransi dan sama hormat menghormati dapat dipupuk dalam kerangka agama masing-masing. Tidak perlu kita mendesak penganut agama lain agar menerima ideologi pluralisme agama sebagai syarat bermuafakat. Hakikatnya, toleransi itu mengandaikan kewujudan pandangan yang tidak sama. Kalau semua penganut sudah bersetuju menerima pluralisme agama, maka tidak perlu lagi toleransi kerana sudah dicapai kata sepakat sebelum sampai ke meja perbincangan.

Dialog antara agama yang sah tidak mendesak mana-mana pihak mengubah kepercayaan mereka. Walaupun pendapat berbeza, sifat saling hormat-menghormati mustahak kerana tidak harus adanya elemen paksaan dalam kebebasan beragama dan bersuara.

Akhir sekali, kekuatan ‘ancaman’ pluralisme agama sebenarnya datang daripada pihak yang memperalatkan agama sebagai alasan diskriminasi dan memecah belahkan masyarakat majmuk Malaysia bagi kepentingan politik mereka sendiri.

Oleh itu, ramai yang jelak melihat tindak-tanduk eksklusif ini berpendapat bahawa alternatif pluralisme agama adalah kezaliman dan kepincangan sosial. Kalau tolak pluralisme agama maka kena terima diskriminasi dan penindasan golongan minoriti.

Yang penting, pemimpin-pemimpin semua agama harus tampil mencari kaedah sosio-politik terbaik demi menekuni hubungan antara agama serta menangani isu sensitif seumpama penggunaan kalimah “Allah”, Subashini, Revathi, Lina Joy dan lain-lain dengan cara bermuafakat. Forum antara agama adalah platform paling sesuai bagi mereka mempertahankan martabat rukun agama daripada unsur-unsur hasutan yang mempolitikkan agama demi keuntungan peribadi.

Atas sebab keTaqwaan kepada Islam sebagai ad-Deen, fahaman pluralisme agama maupun konsep demokrasi majmuk dari teologi perjanjian Kristian, semua pihak harus meyumbang tenaga ke arah masyarakat adil dan harmoni di Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan agama daripada sumber kepercayaan masing-masing.

No comments: