Saturday, May 06, 2006

Penebusan The Da Vinci Code (II)

Pernahkah Constantine mengubahsuai keempat-empat Injil kita?

Adakah Injil Matius, Markus, Lukas dan Yohanes yang kemudiannya diiktiraf secara rasmi dalam kanon Perjanjian Baru, diubahsuaikan dengan sengaja atas perintah Maharaja Constantine? Inilah disarankan oleh Leigh Teabing, sejarahwan fiksyen dalam The Da Vinci Code. Dia juga menyatakan, “Constantine menugaskan dan membiayai penghasilan AlKitab baru dengan mengeluarkan ciri-ciri kemanusiaan Yesus dan ditokok tambahkan dengan ciri-ciri ketuhanan Yesus.”

Adakah ini benar?

Dalam surat Constantine kepada sejarahwan gereja, Eusebius, baginda memang mengarahkan penyediaan 50 salinan kitab suci. Tetapi tiada arahan dalam surat tersebut yang memberi perintah untuk mengubahsuai mana-mana injil untuk menjadikan Yesus itu tuhan. Kalau ada pun, memang mustahil baginya mendapat kerjasama dari orang-orang Kristian yang setia untuk menerima perubahan tersebut.

Sebelum pemerintahan Constantine, gereja telah lama menderita kerana ditindas oleh maharaja Diocletian. Amat sukar untuk percaya bahawa umat Kristian sama yang pernah melalui penganiayaan berdarah selama ini sanggup membuang injil yang mereka kasihi dan menerima pengubahsuaian kisah hidup Yesus! Sekiranya Constantine cuba berbuat sedemikian, kita tentu dapat bukti peristiwa ini dari hasil tulisan tokoh-tokoh gereja pada zaman itu. Tapi hakikatnya, rekod sejarah sebegini memang tidak wujud. Tiada seorang pun yang memberitakan cubaan Constantine untuk mengubah mana-mana Injil kita. Dakwaan bahawa pemimpin gereja pada abad keempat, yang pernah ditindas kerana iman mereka, sanggup berkerjasama dengan Constantine dalam konspirasi memang tidak realistik.

Akhir sekali, kita masih memiliki salinan keempat-empat Injil yang nyata lebih awal dari Constantine dan Majlis Nicea. Walaupun tiada satu dari salinan itu lengkap sepenuhnya, kita mempunyai salinan hampir lengkap bagi Lukas dan Yohanes yang berbentuk kodeks bertarikh di antara 175 T.M. dan 225 T.M. iaitu sekurang-kurangnya 100 tahun sebelum Nicea. Terdapat juga naskhah atau manuskrip bertarikh sekitar 200 T.M atau lebih awal yang mengandungi kebanyakan Injil Yohanes.

Kenapakah perkara ini begitu penting?

Pertama, perbandingan boleh dibuat dengan manuskrip sebelum Nicea dan selepas Nicea untuk melihat sama ada pengubahsuaian dibuat atau tidak. Tiada pengubahsuaian yang berlaku.

Kedua, versi Injil Yohanes sebelum Nicea ada merekodkan keTuhanan Yesus. Contohnya, Yohanes 1:1-3; 8:58; 10:30-33. Maksudnya, keTuhanan Yesus jelas terlihat dalam keempat-empat Injil yang dijumpai dalam manuskrip yang lebih seratus tahun lebih awal dari Constantine.

Jika kawan anda yang belum mengenali Kristus menganggap injil-injil ini pernah diubahsuai, rujuklah mereka kepada bukti ini dengan budi bahasa yang halus. Galakkanlah mereka untuk membaca sendiri Injil-injil supaya mereka mengenali siapakah Yesus sebenarnya.

Teruskan Siasatan Anda Di Sini

Artikel Lain Yang Berkaitan:

Apakah Itu Da Vinci Code?

Pernahkah Constantine Mengubahsuai Injil?

Adakah Kitab Injil Sumbr Sejarah Yang Sahih?

Apakah itu 'injil' Gnostik?

Bagaimanakah kanon Perjanjian Baru dibentuk?

Adakah Gereja Mengetepikan Maria dari Magdalena?

Adakah Maria dari Magdalena isteri Yesus Kristus?

Pernahkah Yesus Berkahwin? (Bahagian I)

Pernahkah Yesus Berkahwin? (Bahagian 2)

Adakah Pengikut Awal Yesus Mengisytiharkan KeTuhananNya?

No comments: